Fenomena
penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah sebenarnya perlu dipandang
serius kerana ia mempunyai perkaitan dengan permasalahan disiplin seperti
merokok, ponteng sekolah, melawan guru, mencuri, bergaduh dan merosakkan harta
benda sekolah. Pada kebiasaannya, pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan
dadah bukan sahaja menghadapi permasalahan disiplin dan akademik tetapi mereka
juga terdedah kepada risiko gejala sosial di luar sekolah seperti penglibatan
dengan kumpulan samseng, pergaulan bebas, melepak, kehamilan sebelum kahwin dan
lari dari rumah (AADK, 2007).
Kementerian
Pelajaran telah mengatur pelbagai strategi pencegahan awalan bagi menangani
permasalahan dadah dalam kalangan pelajar. Salah satu daripada strategi
tersebut ialah melalui pelaksanaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa)
di sekolah rendah. Program PPDa merupakan salah satu daripada sistem sokongan
sekolah ke arah menangani gejala sosial yang melibatkan kalangan pelajar
sekolah. Menurut Mohd Muzafar Shah dan Abdul Malek (2005), Program PPDa ini
harus dapat memupuk semangat jati diri pelajar yang seterusnya dapat membentuk
nilai murni, budi pekerti yang mulia dan terpuji, kerohanian yang luhur dan
memiliki perasaan cinta serta sayang kepada diri, keluarga, masyarakat, agama,
bangsa dan negara.
Selain
itu, objektif PPDa ialah:
- Mewujudkan pemikiran generasi muda yang bebas daripada pengaruh dadah
- Menyediakan alternatif berfaedah yang dapat mencegah mereka daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah
- Mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran.
Kementerian
Pelajaran Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk mengenalpasti, merancang
dan melaksanakan segala program dan aktiviti tindakan berhubung dengan
pendidikan pencegahan dadah. Walaupun PPDa telah dilaksanakan secara menyeluruh
yang meliputi peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan tetapi masih
terdapat sebilangan pelajar sekolah yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Perangkaan
yang dikeluarkan Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia (2006)
menunjukkan bahawa terdapat sebilangan pelajar sekolah yang terlibat dengan
penyalahgunaan dadah. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan
iaitu dari tahun 2002 hingga 2005 terdapat seramai 1,015 orang pelajar sekolah
telah dikenalpasti terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Justeru,
usaha untuk mencegah dadah ditumpukan kepada generasi muda
kerana mereka merupakan tulang belakang dan pewaris kepimpinan negara ini pada
masa depan. Seperti yang kita sedia maklum, mencegah adalah lebih baik dari
mengubat. Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bagi memastikan
generasi masa hadapan hidup aman dan gembira tanpa dadah.
Comments
Post a Comment